Abu Bakar Hamzah Digantung Keahlian BERSATU Dua Penggal

KANGAR: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kangar, Abu Bakar Hamzah digantung hak keahliannya dalam parti itu selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 14 Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin BERSATU selepas bersidang pada 13 Oktober berhubung dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Menerusi notis bertarikh 14 Oktober, Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan penggantungan berkenaan dibuat mengikut Fasal 22.5 perlembagaan parti.

Menurut notis itu, “YAB digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua (2) penggal pemilihan BERSATU berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan”.

Susulan keputusan itu, Abu Bakar turut dilucutkan semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama BERSATU sepanjang tempoh penggantungan.

Notis itu turut menyatakan bahawa beliau boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis berkenaan.

“YAB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” menurut notis tersebut.

BBerkaitan

Latest articles