Anwar Jangan Dikelilingi Pengampu, Hadi Beri Amaran

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak dikelilingi penasihat yang hanya menyokong setiap keputusannya, sebaliknya perlu mendapatkan pandangan individu yang berani menegur kesilapan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penasihat sepatutnya memainkan peranan sebagai pembimbing yang membantu pemimpin membuat keputusan tepat, termasuk memberikan teguran apabila berlaku kesilapan.

Beliau memberi amaran bahawa sikap terlalu bergantung kepada pengampu boleh mengundang kesan buruk terhadap pentadbiran dan masa depan negara.

“Jangan bergantung pada pengampu-pengampu. Ini boleh merosakkan negara,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Dalam perbahasannya, Hadi turut mempersoalkan peningkatan defisit, hutang negara dan cukai, selain menegaskan belanjawan perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan kerajaan, syarikat korporat atau kroni.

Beliau juga membangkitkan isu beban hutang negara yang dikaitkan dengan amalan riba, sambil menegaskan perkara itu perlu ditangani bagi mengatasi masalah hutang secara berkesan.

“Selagi riba ini menjadi penyakit, selama itulah penyakit hutang tak dapat diubati,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyorot kenaikan harga barangan keperluan serta kegiatan kartel dan orang tengah yang didakwanya terus menekan kehidupan rakyat.

Menyentuh bidang pendidikan, Hadi mendakwa sistem sedia ada terlalu menitikberatkan pencapaian akademik sehingga pembentukan akhlak, kerohanian dan nilai kemanusiaan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau mengaitkan kelemahan penerapan nilai tersebut dengan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat, termasuk buli, keganasan dan pembunuhan.

BBerkaitan

Latest articles