KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu turut membolehkan lambang PN digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurutnya, keputusan berkenaan memberi harapan baharu kepada PN untuk menghadapi sistem demokrasi negara secara sihat dan adil.
“Kuasa bukanlah lesen untuk bertindak secara sesuka hati, manakala undang-undang juga bukan alat untuk menekan pihak yang berbeza pandangan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Hamzah berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu juga bertepatan dengan penghakiman Allahyarham Sultan Azlan Shah dalam kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979].
Beliau memetik prinsip penghakiman berkenaan yang menegaskan bahawa setiap kuasa mesti mempunyai batasan undang-undang bagi mengelakkan berlakunya pemerintahan diktator.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan positif berkenaan mengukuhkan tekad PN untuk terus memperkukuh kekuatan gabungan itu, selain menawarkan dasar serta perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, sokongan rakyat dalam PRN Melaka akan datang diharap dapat membantu PN menterjemahkan komitmen berkenaan.










