KUALA LUMPUR: Kegagalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencari jalan perdamaian antara Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Zain, dengan dua anggota polis dipersoalkan di Dewan Rakyat.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, pertelingkahan membabitkan agensi kerajaan yang akhirnya dibawa ke mahkamah boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.
Beliau mempersoalkan tindakan membiarkan konflik itu berlarutan sehingga pendakwaan dibuat, sedangkan pendekatan perdamaian boleh dipertimbangkan bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.
“Kenapa menteri dalam negeri tidak mengambil pendekatan untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak.
“Kenapa perlu mendedahkan pertelingkahan antara agensi sehingga ada pihak didakwa di mahkamah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Semalam, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Faiz Saman dan Ekmal Sofwan, di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, Wan Fayhsal turut menggesa Saifuddin supaya menarik balik kes berkenaan.










