PN Is Back – Takiyuddin

KUALA LUMPUR: “Perikatan Nasional kembali, PN is back.”

Demikian kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan notis penggantungan aktiviti serta pembatalan pendaftaran gabungan itu pada Khamis.

Takiyuddin berkata, keputusan berkenaan membolehkan PN meneruskan langkah seterusnya sementara menunggu pelupusan penuh prosiding substantif semakan kehakiman yang difailkan bagi mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas keputusan mahkamah yang dipengerusikan Hakim Datuk Azizan Md Arshad, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, peguam yang mewakili PN, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas pihaknya membangkitkan beberapa isu berhubung tindakan RoS membatalkan pendaftaran gabungan itu pada 20 Oktober lalu, kurang 48 jam sebelum prosiding permohonan penangguhan didengar.

Menurutnya, tindakan itu dipersoalkan kerana RoS sebelum ini mengeluarkan notis bertarikh 22 September yang memberikan tempoh 30 hari kepada PN untuk mengemukakan penjelasan.

Bagaimanapun, katanya, pembatalan dibuat pada hari ke-28 sebelum tempoh berkenaan tamat.

“Kita telah dengan tegas menyatakan bahawa pembatalan yang dibuat itu adalah satu perbuatan yang haram. Ia tidak menghormati proses mahkamah.

“Ini merupakan kacau ganggu keadilan,” katanya ketika sidang media itu.

Rafique berkata, pihaknya turut membangkitkan kepentingan keputusan berkenaan terhadap kira-kira 687,697 pengundi berdaftar di Melaka, selain 74 Ahli Parlimen dan lebih 200 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN.

Beliau berkata, perkara itu antara isu yang memerlukan penelitian mahkamah dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Mengulas keputusan berkenaan, Rafique berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyokong PN, rakyat Malaysia serta pemimpin parti komponen gabungan itu yang memberikan sokongan sepanjang proses perundangan berkenaan.

Beliau turut menegaskan PN bukan sahaja kembali, malah berhasrat meneruskan langkah politiknya selepas ini.

“Bukan sahaja Perikatan Nasional is back, tetapi mengikut apa yang sedang berlaku, Perikatan Nasional will move forward, insya-Allah,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan PN memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar notis penggantungan aktiviti gabungan itu yang dikeluarkan RoS, namun menolak permohonan penangguhan sementara pada peringkat tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan beberapa arahan berkaitan pemfailan afidavit dan penghujahan bertulis sebelum permohonan penangguhan didengar pada 22 Oktober.

Bagaimanapun, RoS memaklumkan pembatalan pendaftaran PN pada 20 Oktober, sebelum mahkamah membuat keputusan terhadap permohonan penangguhan berkenaan.

Dalam penghakimannya pada Khamis, Datuk Azizan berpandangan pembatalan pendaftaran itu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan bersifat akademik.

Mahkamah turut mengambil kira kemungkinan berlakunya kesan yang tidak dapat dipulihkan terhadap hak politik pemohon, termasuk penyertaan dalam sistem pilihan raya.

Hakim bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan membenarkan penangguhan itu tidak menentukan kesahihan tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN, yang masih boleh dipertikaikan dalam prosiding semakan kehakiman substantif.

Permohonan PN diwakili pasukan 15 peguam yang diketuai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

BBerkaitan

Latest articles