KUALA LUMPUR: Waze menolak dakwaan bahawa aplikasi navigasi itu mengumpul maklumat sulit kerajaan atau membuka ruang kepada pihak tertentu untuk menyalahgunakan data peribadi pengguna, ketika Malaysia mengambil langkah menyekat penggunaannya dalam kalangan penjawat awam bagi urusan rasmi.
Jurucakap Waze menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar, selain menegaskan syarikat berkenaan mempunyai dasar perlindungan privasi yang perlu dipatuhi.
“Waze beroperasi di bawah dasar privasi ketat bagi melindungi data pengguna dan mematuhi piawaian perlindungan data undang-undang global,” katanya memetik Free Malaysia Today (FMT).
Larangan itu diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas faktor keselamatan susulan kebimbangan berkaitan pemakaian undang-undang Israel terhadap aplikasi berkenaan.
Menurut Anwar, tindakan tersebut bertujuan mengelakkan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada terdedah kepada risiko penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Bagaimanapun, keputusan itu hanya terpakai kepada penjawat awam ketika melaksanakan tugas rasmi dan tidak menghalang orang ramai daripada terus menggunakan Waze.
Sebagai alternatif, Anwar turut menyarankan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, termasuk TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Raja Nushirwan Zainal Abidin, sebelum ini mengingatkan bahawa data lokasi dan pergerakan yang dikumpulkan aplikasi berkenaan berpotensi mendedahkan tabiat perjalanan serta rutin harian penggunanya.
Beliau berkata, pendedahan sedemikian boleh membawa implikasi keselamatan yang lebih serius apabila membabitkan penjawat awam, khususnya mereka yang menguruskan tugasan dan maklumat rasmi kerajaan.
Waze diasaskan di Israel pada 2008 oleh tiga usahawan negara itu sebelum diambil alih syarikat induk Google, Alphabet, pada Jun 2013 dalam urus niaga bernilai kira-kira AS$1.15 bilion.
Penafian Waze itu hadir ketika kebimbangan terhadap keselamatan data digital terus menjadi perhatian, khususnya berhubung perlindungan maklumat kerajaan dan risiko penggunaan data lokasi oleh pihak yang tidak sepatutnya.










