Sembilan Individu Didakwa Esok, Sindiket Pelacuran Kanak-kanak Raih RM450,000 Sebulan

KUALA LUMPUR: Sembilan individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran kanak-kanak di Lembah Klang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang.

Sindiket dikenali sebagai Geng Yunaa itu dipercayai beroperasi sejak 2024 dengan mengeksploitasi warga asing, kanak-kanak dan remaja tempatan untuk tujuan pelacuran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata tujuh suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun ditahan menerusi operasi khas pada 24 hingga 26 September lalu.

Beliau berkata, penahanan itu membolehkan polis menyelesaikan 17 kes selain melumpuhkan kegiatan kumpulan jenayah terancang berkenaan di Selangor.

Antara barang dirampas dalam operasi itu ialah 33 kotak kondom dan enam kotak pil perancang kehamilan.

Menurut Kumar, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi Telegram untuk mengiklankan perkhidmatan mereka, dengan anggaran 20 hingga 30 mangsa dieksploitasi bagi tujuan pelacuran setiap hari.

Pelanggan pula dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350, bergantung pada pakej dan lokasi perkhidmatan yang ditawarkan.

Sindiket itu dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari, dengan kutipan dianggarkan RM15,000 sehari, bersamaan RM450,000 sebulan atau RM5.4 juta setahun jika kegiatan berkenaan berterusan pada kadar sama.

Kumar berkata, beberapa suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah, penipuan dan pelacuran.

Dua lagi ahli kumpulan itu sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney di Melaka atas kesalahan berkaitan pemerdagangan kanak-kanak serta pelacuran.

Polis kini giat mengesan seorang lagi ahli kumpulan berkenaan bagi melengkapkan tindakan terhadap sindiket terbabit.

BBerkaitan

Latest articles