Wawasan Negara Perkenal Barisan Kepimpinan Baharu, Hamzah Sebagai Presiden

KUALA LUMPUR: Parti politik baharu, Wawasan Negara secara rasmi mengumumkan barisan penuh Jawatankuasa Pusat bagi penggal pertama pentadbirannya, selepas pelancarannya baru-baru ini.

Pengumuman tersebut dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang berlangsung semalam, dengan parti berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu menampilkan gabungan tokoh berpengalaman, bekas menteri serta golongan profesional daripada pelbagai latar belakang.

Menerusi struktur kepimpinan tertinggi yang diumumkan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi parti, manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Presiden.

Jawatan Timbalan Presiden pula disandang Datuk Tan Lek Khang, sementara lima individu dilantik sebagai Naib Presiden iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Leong Kim Soon, Datuk Mohd Omar Mustapha dan Datuk Huan Cheng Guan.

Bagi memperkukuhkan pentadbiran parti, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung dengan dibantu Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof selaku Setiausaha Eksekutif.

Portfolio Bendahari Agung pula diberikan kepada Dato’ Arifin Tobias, manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memegang peranan sebagai Ketua Penerangan.

Pembentukan kepimpinan baharu itu dibuat selepas pengisytiharan rasmi penubuhan Wawasan Negara pada Konvensyen RESET Malaysia yang berlangsung di Tanah Merah minggu lalu.

Menurut parti berkenaan, penubuhan Wawasan Negara bertujuan menyediakan wadah politik yang lebih inklusif serta menawarkan alternatif baharu dalam landskap politik negara yang kini didominasi blok-blok sedia ada.

Selain jawatan utama, seramai 25 individu turut diumumkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat bagi melengkapkan struktur organisasi parti.

Mereka terdiri daripada tokoh akademik, bekas pegawai kerajaan, profesional dan aktivis yang akan membantu menggerakkan agenda serta hala tuju parti di peringkat nasional.

Antara nama yang disenaraikan ialah Dzowahir Ab Ghani, Datuk Muhamed Farid Mohamed Zawawi, Fathul Huzair Ayob, Kapten Azahari Hasan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali, Datuk Zulkifli Bujang, Datuk Simon Suresh V. Varunamegam dan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Dato’ Asmawi Harun, Dato’ Abdul Aziz Ismail, Dayang Saniah Awang Hamid, Dr Richard Ng, Ir Ts Mohd Khoushaini Mohd Naim, Tan Tee Beng, Tun Fiqa Mohammad, Phang Horng Woie, Syed Hassan Syed Ali, Yunus Nordin, Muhammad Fadhli Ismail, Wong Chan Giap, Hussien Ridzuan Ibrahim Basri, Bibi Sunita Sakandar Khan, Huan Xin Yun dan Mohd Hamdan Mohd Sharif.

BBerkaitan

Latest articles