Pengorbanan Anthony Loke Pertahan Prinsip Buktikan DAP Unik – Guan Eng

​KUALA LUMPUR: Tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan disifatkan sebagai satu pengorbanan besar demi mempertahankan prinsip parti.

​Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, meluahkan rasa bangga yang mendalam terhadap kepimpinan Anthony Loke susulan kontroversi keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

​Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Penasihat DAP itu memuji ketegasan rakan separtinya yang konsisten memperjuangkan integriti parti.

​”Bangga menjadi ahli DAP bersama Setiausaha Agung kita, saudara Loke Siew Fook, yang bagi pihak parti sanggup mengorbankan jawatan Menteri demi mempertahankan prinsip.

“Inilah yang menjadikan DAP unik, mempunyai Setiausaha Agung yang berprinsip, berintegriti dan mempunyai kredibiliti,” kata Guan Eng.

​Terdahulu, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung kira-kira tiga jam di ibu pejabat parti di Pudu.

​Beliau menegaskan keputusan itu dicapai sebulat suara sebagai reaksi parti terhadap pengampunan bersyarat yang memperkenankan Najib menjalani baki hukuman sehingga 23 Ogos 2028 di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

​Walau bagaimanapun, Loke menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya sahaja dan tidak melibatkan menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan kerajaan yang lain dari DAP.

​Menurutnya, langkah mengekalkan wakil DAP yang lain dalam Jemaah Menteri dibuat bagi mengelakkan sebarang tindakan drastik yang boleh menjejaskan kestabilan politik serta kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​”Kalau semua letak jawatan sekarang ini, mungkin kerajaan akan tumbang. Ini yang diinginkan oleh lawan kita. Kita tak nak memberikan peluru ini kepada pihak lawan,” ujar beliau pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

​Walaupun DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan, parti itu menegaskan mereka mempunyai pendirian tersendiri terhadap isu tahanan rumah tersebut yang disifatkan sukar diterima oleh sebahagian rakyat Malaysia serta akar umbi yang memperjuangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak sedekad lalu.

​Dalam pada itu, Loke memberi jaminan bahawa surat peletakan jawatannya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat, namun operasi serta projek di bawah Kementerian Pengangkutan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

BBerkaitan

Latest articles