KUALA LUMPUR: Penularan video persembahan teater yang didakwa mempersendakan prinsip Rukun Negara serta mengandungi kenyataan berunsur perkauman kini disiasat sepenuhnya Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata laporan polis pertama berhubung penularan klip berkenaan diterima di Balai Polis Jalan Tun Razak, di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, kira-kira 8.30 malam semalam.
Menurutnya, laporan dibuat selepas pengadu mengesan rakaman persembahan itu dimuat naik menerusi sebuah akaun Instagram sebelum dipercayai dipadamkan dan kemudiannya dikongsikan semula oleh pengguna Facebook.
“Siasatan kes ini akan dijalankan secara penuh oleh USJT Bukit Aman. Kita turut menjangkakan beberapa lagi laporan polis berhubung isu sama akan dibuat di seluruh negara dan kesemuanya akan dirujuk kepada laporan asal di Wangsa Maju,” katanya.
Klip berdurasi kira-kira 10 minit itu memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara, namun setiap bacaan diselitkan dengan sindiran serta kenyataan yang didakwa boleh menyentuh sensitiviti kaum.
Penelitian awal polis mendapati kandungan rakaman berkenaan berpotensi mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat, selain membuka ruang kepada spekulasi serta menjejaskan ketenteraman dan keharmonian awam.
Semakan turut mendapati kumpulan teater fizikal antara budaya berkenaan diasaskan oleh seorang koreografer tempatan dan mempunyai operasi di Malaysia serta London, United Kingdom.
Rakaman yang kembali tular itu dipercayai merupakan pementasan yang pernah dipersembahkan pada 2018 sebelum dimuat naik semula oleh kumpulan terbabit sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.










