KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines terus mengukuhkan kedudukannya di persada penerbangan dunia apabila dinobatkan sebagai Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026.
Lebih membanggakan, kru kabin syarikat penerbangan nasional itu melonjak lima anak tangga untuk menduduki tempat ketiga dalam kategori Kru Kabin Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, berbanding tempat kelapan tahun lalu.
Malaysia Airlines turut mencatat peningkatan ketara dalam kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, apabila naik enam anak tangga ke kedudukan ke-21.
Prestasi itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam agenda transformasinya menerusi pelaburan dalam aspek sumber manusia, produk, armada, rangkaian serta pengalaman pelanggan.
Dalam beberapa kategori lain, Malaysia Airlines turut merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila naik dari tempat keenam ke tempat kedua bagi Perkhidmatan Lapangan Terbang Terbaik Dunia.
Syarikat penerbangan itu juga membuat penampilan sulung dalam kategori Syarikat Penerbangan Kelas Perniagaan Terbaik Dunia di tempat ke-18, selain meningkat ke tempat ke-12 bagi Syarikat Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik Dunia, daripada tempat ke-16 pada 2025.
Dalam kategori Syarikat Penerbangan Paling Bersih Dunia, Malaysia Airlines turut memperbaiki kedudukan kepada tempat ke-11 berbanding tempat ke-12 sebelum ini.
Ia pada masa sama mengekalkan kedudukan dalam kelompok 10 syarikat penerbangan terbaik di Asia, dengan berada di tempat ke-10 tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Nasaruddin A Bakar, berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen seluruh warga Malaysia Airlines dalam memastikan pengalaman pelanggan terus menjadi keutamaan.
Katanya, kejayaan berkenaan hasil usaha bersama kakitangan di lapangan terbang, dalam pesawat dan di belakang tabir yang konsisten memberikan perkhidmatan berteraskan hospitaliti Malaysia.
“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha kolektif kakitangan kami di lapangan terbang, di atas kapal dan di belakang tabir, yang bekerjasama setiap hari untuk memberikan Hospitaliti Malaysia sepanjang perjalanan pelanggan.
“Kejayaan ini dicapai selepas bertahun-tahun mendaki kedudukan global secara konsisten, sekali gus satu pencapaian penting bagi syarikat penerbangan kebangsaan ini,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia Airlines juga akan meneruskan usaha memperluas produk dan perkhidmatan dalam pesawat serta mengembangkan rangkaiannya bagi menawarkan lebih banyak pilihan dan kesalinghubungan kepada pelanggan.
Dalam usaha memperkukuh operasi, sebanyak 29 pesawat baharu telah diterima setakat ini, dengan jumlah armada disasarkan meningkat kepada 117 pesawat moden menjelang 2035.
Prestasi operasi turut menjadi tumpuan apabila Malaysia Airlines merekodkan purata ketepatan masa 91.38 peratus setakat tahun ini, sekali gus secara konsisten mengatasi sasaran yang ditetapkan.
Keseluruhan usaha itu merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan jangka panjang MAG 3.0, dengan sasaran menjadikan Malaysia Airlines antara 10 syarikat penerbangan global teratas menjelang 2030.










