Wanita Singapura Dipenjara Lima Bulan Rahsiakan Maklumat Kontak Rapat COVID-19

Seorang wanita warga Singapura dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan kerana menyembunyikan maklumat pertemuan dengan seorang kawan lelaki daripada petugas pengesan kontak wabak koronavirus COVID-19 republik itu.

Dia melakukan perbuatan itu kerana enggan keluarganya mengetahui sehingga mereka merasakan dia ada hubungan cinta dengan lelaki yang ditemuinya itu.

Tertuduh, Oh Bee Hiok, 65 tahun, bertemu rakan rapatnya, Lim Kiang Hong, 72 tahun, lima kali dalam masa beberapa minggu sebelum diuji positif COVID-19 pada Februari lalu.

Namun, dia dengan sengaja menyembunyikan maklumat itu daripada pengesan kontak kementerian kesihatan, demikian dinyatakan dokumen mahkamah.

BACA JUGA – Tak Tahan Perangai Hiperaktif, Pengasuh Dera Budak Sampai Mati

“Dia tidak mahu keluarganya atau keluarga Kiang Hong, 72, mengetahui yang mereka kerap keluar kerana berfikiran keluarga dan rakan akan mengesyaki mereka mempunyai hubungan luar nikah,” menurut dokumen perbicaraan mahkamah.

Petugas berkenaan mendapat tahu tentang pertemuan berkenaan selepas mereka menyiasat rekod letak kereta, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan transaksi kad kredit.

Selepas dia dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti COVID-19, Bee Hiok menelefon Kiang Hong dan mahu dia merahsiakan pertemuan mereka tetapi Kiang Hong juga sudah disahkan positif pada bulan Mac.

Ketika menjatuhkan hukuman ke atas Bee Hiok, Hakim Marvin Bay, berkata alasan wanita itu untuk menyembunyikan maklumat adalah ‘mementingkan diri sendiri… dalam kepentingan awam yang mendesak untuk mengawal wabak itu’.

“Dalam hal ini, mahkamah perlu menghantar mesej yang jelas bahawa sebarang tindakan menyembunyikan maklumat yang mungkin mengelirukan pengesan kontak tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Bee Hiok mengaku bersalah atas tuduhan menghalang usaha mengesan kontak.

Hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah denda S$10,000 (RM30,445), enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Singapura pada mulanya mengawal COVID-19 melalui pengesanan kontak yang ketat, namun virus itu kemudian merebak melalui asrama yang menempatkan pekerja asing berpendapatan rendah.

Negara itu melaporkan lebih 58,800 kes jangkitan virus, namun mempunyai jumlah kematian yang rendah iaitu 29 kes.

BBerkaitan

Latest articles