More

    Tak Tahan Perangai Hiperaktif, Pengasuh Dera Budak Sampai Mati

    Seorang wanita yang juga pengasuh yang berusia 61 tahun dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak kerana mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

    Terdahulu, dalam satu kejadian di sebuah rumah pada 2 Januari lalu, seorang kanak-kanak perempuan ditemui meninggal dunia, dipercayai didera oleh pengasuh.

    Polis tidak menolak kemungkinan faktor hiperaktif menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan didera oleh suspek sehingga menemui ajal.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dalam sidang media di sini berkata, mangsa diserahkan kepada suspek oleh bapanya sejak September 2019 kerana bekerja di Vietnam dan tidak dapat pulang ke Malaysia berikutan penularan COVID-19.

    Manakala ibu mangsa telah melarikan diri dan meninggalkan kanak-kanak itu sejak kecil lagi.

    “Pada 2 Januari lepas, IPD Sentul mendapat aduan dari jiran di sebuah kondominium ada kanak-kanak tidak sedarkan diri, apabila pasukan tiba kita dapati mangsa sudah meninggal dan ada kesan kecederaan.

    “Siasatan polis mendapati mangsa dijaga pengasuh berusia 61 tahun. Suspek turut tinggal bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 22 dan 34 tahun. Ketua-dua mereka bekerja sebagai pengurus restoran dan jurureka.

    “Kertas siasatan kes ini telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan terhadap pengasuh dijalankan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mangsa mengalami kecederaan fizikal.

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Hasil pemeriksaan terhadap mangsa menemui kesan calar serta lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki mangsa sebelum ini.

    Dalam pada itu Saiful Azly menyeru orang ramai supaya sentiasa prihatin dengan persekitaran kejiranan masing-masing serta menyalurkan sebarang maklumat penderaan, jenayah dengan menghubungi hotline polis di 03-21159999.

    “Walaupun ada perumpamaan jangan jaga tepi kain orang namun ada perkara yang kita perlu sentiasa peka terutamanya jenayah seperti dera ini.

    “Pihak polis sememangnya berterima kasih dengan tindakan pantas jiran yang segera menghubungi dan menyalurkan maklumat tentang kanak-kanak ini,” ujarnya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini