PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong atau pelajar untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara haram di negara ini, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengarahkan semua kementerian dan agensi penguat kuasa berkaitan mengambil tindakan segera serta lebih agresif bagi membanteras kegiatan tersebut yang dilihat semakin membimbangkan dan menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan.
Menurut Anwar, kerajaan menerima laporan mengenai peningkatan jumlah warga asing, termasuk dari China, yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat tetapi kemudiannya mengendalikan perniagaan atau syarikat kecil secara tidak sah.
Malah, katanya, terdapat juga kes melibatkan penyalahgunaan permit dan lesen perniagaan milik rakyat tempatan bagi membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan oleh warga asing.
“Jika seseorang itu berniaga, mereka mesti mempunyai pendaftaran perniagaan dan alamat operasi yang sah. Jika permit milik rakyat tempatan didapati disalahgunakan, permit tersebut perlu dirampas,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana sebelum ini negara turut berdepan masalah sama melibatkan warga asing dari beberapa negara yang menguasai sektor peruncitan dan pasar borong sehingga menjejaskan peluang pekerjaan masyarakat tempatan.
Menurut beliau, kemasukan warga China yang membuka premis perniagaan menggunakan visa pelancong kini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan memerlukan tindakan lebih tegas daripada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beberapa agensi dan kementerian berkaitan telah dimaklumkan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pada masa sama, beliau mahu kerjasama lebih erat diwujudkan antara kerajaan dengan persatuan peniaga, dewan perniagaan serta persatuan penjaja bagi membantu menyalurkan maklumat dan mengesan aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan yang menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan serta kedaulatan negara,” tegas beliau.










