JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertahankan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sambil menegaskan kenyataan tersebut tidak didorong oleh sikap angkuh mahupun sentimen perkauman.
Menurut beliau, pendirian yang diambil adalah berasaskan prinsip perjuangan serta tanggungjawab yang perlu dipikul demi menjaga kepentingan Bangsa Johor dan menghormati kehendak akar umbi Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, sebagai pemimpin yang mewakili semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, beliau perlu mengambil kira suara dan aspirasi ahli serta penyokong di peringkat akar umbi yang mahu BN bergerak secara sendiri pada PRN Johor 2026.
Beliau menjelaskan demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini sebagai respons kepada kenyataannya semasa pelancaran jentera BN Johor semalam, apabila menegaskan beliau sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya kemenangan BN memerlukan kerjasama dengan DAP.
Menurutnya, hubungan politik antara BN khususnya UMNO Johor dengan DAP tidak pernah wujud di peringkat negeri, berbeza dengan kerjasama yang terbentuk di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambah beliau, DAP tidak pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor pimpinan BN dan keadaan itu hanya dapat dikekalkan sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada gabungan tersebut pada PRN akan datang.
Mengulas perbezaan situasi politik di Johor dan Putrajaya, Onn Hafiz berkata kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan berlaku susulan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.
Namun katanya, senario di Johor jauh berbeza kerana BN telah memperoleh mandat yang jelas daripada rakyat untuk mentadbir negeri dan berjaya mewujudkan kerajaan yang stabil.
Beliau menegaskan kestabilan yang dinikmati Johor ketika ini perlu dipertahankan agar agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan percaturan politik yang boleh menjejaskan kemajuan negeri.
“Johor mempunyai pendekatan politiknya yang tersendiri. Ini UMNO Johor, ini BN Johor dan ini Bangsa Johor,” katanya.










