SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret hari ini menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tragis meragut nyawa enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, semalam.
Keputusan itu dibuat Majistret Mohamad Azlan Basri selepas meneliti permohonan yang dikemukakan pihak polis terhadap lelaki berusia 49 tahun berkenaan.
Sebelum ini, pemandu lori terbabit ditahan sejurus selepas nahas berlaku bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki enam mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang, keluarga berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi pusara ahli keluarga sebelum SUV yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan maut itu.
Enam mangsa yang terkorban ialah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, Nora Mhd Husin, 55, Jamaliah Sannusi, 27, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, Iskandar Affan, tujuh tahun serta seorang bayi lelaki berusia enam bulan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori terbabit bebas daripada pengaruh dadah. Siasatan awal turut mendapati lori yang dipandunya bergerak pada kelajuan sekitar 60 kilometer sejam ketika kejadian.
Menurut beliau, semakan rekod juga mendapati lelaki itu mempunyai tujuh saman trafik, termasuk empat saman yang masih belum dijelaskan.
“Pada masa sama, terdapat dakwaan yang mengaitkan kemalangan ini dengan kemungkinan berlaku masalah teknikal pada SUV Proton X50 yang baharu diterima keluarga berkenaan. Namun, semua kemungkinan masih dalam proses siasatan.
“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk menghantar kenderaan tersebut ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan teknikal dan forensik yang lebih terperinci,” katanya.
Beliau menegaskan polis tidak menolak sebarang kemungkinan dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi yang mengorbankan enam nyawa dalam satu keluarga itu.










