Utamakan Kepentingan Negara, Rakyat, Ketepikan Isu Politik

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan isu pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana akan memberi kesan buruk kepada agenda membangunkan semula negara.

Mengambil kira faktor itu, maka UMNO berpendapat adalah penting untuk menyahut seruan titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita nak cakap apa, kita (Barisan Nasional-BN) kecil. Dulu kita menang 143 kerusi, 133 kerusi. Sekarang 30.

”Kalau nak buat perangai macam menang 143, mana boleh,” demikian menurut Johari ketika ditemubual Buletin FM, pagi tadi.

Johari, yang juga bekas Menteri Kewangan menegaskan UMNO meletakkan kepentingan negara dan rakyat pada ketika ini, bukan lagi parti politik.

Malah beliau juga tidak bersetuju jika Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang jika akhirnya negara terkebelakang dan agenda pembangunan tidak dapat dilakukan.

Tambah Johari, tidak semua pemimpin yang berada dalam parti-parti politik tahu buat semua perkara.

“Sebab itu ada talent (bakat) pada parti A, bakat lain pada parti B dan C. Yang paling penting sekarang adalah sanggup tak berkorban untuk 32 juta rakyat dan memacu Malaysia menjadi negara contoh walaupun berbeza ideologi.

Tegas beliau, dalam ekonomi tidak ada ideologi kerana semuanya ‘straight forward’.

“Kalau kita boleh bekerja berpuluh-puluh tahun dengan pelbagai kaum, agama dan budaya, Melayu, Cina dan India, kita bangunkan saiz ekonomi negara daripada RM100 juta pada tahun 1957 kepada RM1.5 trilion sekarang, takkanlah kita kena reverse ke belakang. Kita kena praktikalah.

”Macam saya dulu kalah di Parlimen Titiwangsa tetapi saya terus bekerja untuk mereka (pengundi) sekadar mampu dan akhirnya mereka kembali kepada saya,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles