Berdepan Lima Pertuduhan Liwat Pelajar, Pengasas Rumah Anak Yatim Tak Mengaku Salah

KUALA LUMPUR: Seorang pengasas sebuah rumah anak yatim dan maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas lima tuduhan meliwat tiga pelajar lelaki sejak April 2021 hingga bulan ini.

Muzaidi Mohamad, 30, yang juga mudir maahad tahfiz itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad

Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima, Muzaidi didakwa meliwat tiga mangsa berusia 12 hingga 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di bilik mudir di sebuah rumah anak yatim di Bachok dan di sebuah bilik tidur di sebuah Maahad Tahfiz di Machang sekitar jam 10 pagi hingga 10 malam pada April 2021 sehingga April 2024.

Daripada jumlah pertuduhan, empat pertuduhan membabitkan dua mangsa yang sama.

Muzaidi didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon lelaki itu tidak diberikan jaminan kerana terdapat kebarangkalian saksi pendakwaan diganggu oleh tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili Muzaidi memohon jaminan paling rendah kerana tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai isteri serta anak yang masih kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Nik Habri juga mengarahkan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Beliau menetapkan 29 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles