Pihak Fitnah Isu Kasino Di Forest City Boleh Ganti Bekas Bilik Saya Di Sungai Buloh – PM

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya kerajaan telah meluluskan projek Kasino di Forest City, Johor adalah sekadar fitnah sedangkan ia tidak pernah diusulkan oleh mana-mana orang seperti didakwa individu di luar sana, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar juga menyifatkan pihak yang menggunakan isu Forest City hanyalah modal politik dan dalam masa yang sama sengaja mengkritik dan menyerang institusi diraja.

“Tiada modal lain, kononnya Anwar dah lulus kasino di Johor. Apa benda ini, saya tak pernah dengar dan tak pernah orang usulkan tentang projek kasino di Johor.

“Apatah lagi, Agong pun tak pernah maklumkan kepada saya, nak adakan kasino dan perjudian di sana, Jadi ini dari mana (tohmahan)? dari penjahat-penjahat sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Di majlis sama, beliau turut melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang diperkenalkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Anwar juga menyifatkan pihak-pihak tertentu yang melemparkan tohmahan berkaitan Forest City sebenarnya lebih sesuai disumbat dalam bekas bilik tahananya di Penjara Sungai Buloh.

“Mereka ni (lempar tohmahan) sebenarnya ganti bilik-bilik saya di Sungai Buloh (penjara).

“Kalau kamu kritik PM tidak mengapa sebab saya boleh jawab, tapi ini kamu kritik Raja-raja yang kita sanjung dan muliakan dan ada dalam perlembagaan.

“Kalau kita ada sistem beraja, tak boleh dijadikan macam orang politik dan serang sesuka hati kerana ia ada kaedah percakapan dan santunan yang kita perlu hormati.

“Jadi, kalau saudara serang apatah lagi fitnah, jawapannya adalah pendakwaan, hukuman dan penjara. Kemudian jangan marah saya konon saya tidak demokratik, keras dan kuku besi,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles