Usul Pecat Speaker Dan Timbalan Tidak Bertentangan Dengan Perlembagaan

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan usul untuk menamatkan khidmat Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Beliau memberikan reaksinya terhadap usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming pada semalam.

Mohammad Ariff mengesahkan penerimaan usul berkenaan selain memaklumkan ia diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Nik Ahmad Kamal dalam pada itu tidak menolak bahawa usul tersebut bakal menimbulkan persepsi sebagai satu bentuk campur tangan pihak Eksekutif, namunPerlembagaan membenarkannya menerusi Perkara 57 (2)(c), iaitu ‘Jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan untuk Yang di-Pertua mengosongkan jawatannya.

“Apa yang dikatakan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Tidak timbul isu campur tangan eksekutif,” katanya memetik laporan BH.

Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga berkata, pembangkang berhak mempersoalkan keputusan Dewan Rakyat di mahkamah seperti yang berlaku dalam krisis politik Perak 2009.

“Walaupun kes berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN), peruntukan Perlembagaan Perak lebih kurang sama dengan Perkara 57 Perlembagaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles