Usahawan India Di Malaysia Perlu Rebut Peluang Pasaran Afrika – Thayalan

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan BRICS-ASEAN berhasrat membuka peluang kepada usahawan Malaysia, khususnya komuniti peniaga India, untuk menembusi pasaran antarabangsa termasuk negara-negara Afrika.

Presidennya, Thayalan Nathan berkata, kerjasama menerusi BRICS-ASEAN mampu menjadi platform bagi memperluas pemasaran produk dan perkhidmatan tempatan ke pasaran baharu, terutama di rantau Afrika yang mempunyai komuniti besar berketurunan India.

Beliau berkata, terdapat lebih 10 juta penduduk India di Afrika, sekali gus mewujudkan potensi pasaran bagi produk yang berkaitan dengan tradisi dan budaya India, selain produk keluaran Malaysia.

“Bukan hanya produk India, tetapi produk Malaysia juga boleh dipasarkan di negara-negara Afrika,” katanya pada sidang media selepas Festival Beli-Belah BRICS ASEAN Deepavali 2026 di KL Sentral di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Rabin Gungoo dan Pengerusi Penganjur Festival Beli-Belah BRICS ASEAN Deepavali 2026, D.P. Ganaa.

Thayalan berkata, kerjasama dengan negara anggota dan negara rakan BRICS turut membuka ruang kepada peniaga tempatan untuk meneroka peluang perniagaan di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Mauritius sebagai pintu masuk ke pasaran Afrika.

Menurutnya, Dewan Perniagaan BRICS-ASEAN mewakili lima negara anggota BRICS dan 11 negara anggota ASEAN, dengan jumlah penduduk dianggarkan kira-kira empat bilion orang serta gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$28 trilion.

Beliau berkata, penganjuran festival berkenaan merupakan usaha awal untuk menghubungkan peniaga Malaysia dengan peniaga dan pengilang India bagi mempamerkan produk serta perkhidmatan kedua-dua negara kepada pasaran lebih luas.

Katanya, penganjuran festival sempena Deepavali itu turut bertujuan membawa peniaga tempatan, khususnya peniaga India, ke peringkat global berbanding hanya bergantung pada karnival perayaan yang lazim diadakan di lokasi tertentu.

“Ini adalah eksperimen pertama kami dan mungkin tahun depan kami akan melakukannya dengan lebih baik,” katanya.

Thayalan berkata, pemilihan KL Sentral sebagai lokasi festival itu juga strategik kerana kawasan berkenaan menerima kira-kira 180,000 pergerakan penumpang setiap hari.

Pihak penganjur turut menjangkakan purata 3,000 pembeli India mengunjungi lokasi berkenaan setiap hari sepanjang penganjuran festival itu.

BBerkaitan

Latest articles