SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi akan dimaklumkan pada 4 Disember ini mengenai langkah seterusnya dalam saman fitnah RM150 juta yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, mahkamah diminta memberikan ruang kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menentukan hala tuju kes berkenaan, mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatannya.
Beliau turut mempertimbangkan permohonan supaya prosiding dijalankan secara dalam talian serta skop pemeriksaan balas dihadkan bagi memastikan keselesaan anak guamnya.
Prosiding sebelum ini ditangguhkan pada Januari lalu selepas Dr Mahathir terjatuh ketika bersenam di rumah. Beliau genap berusia 101 tahun pada 10 Julai lalu.
Dalam saman itu, Dr Mahathir mendakwa Anwar memfitnahnya menerusi kenyataan yang mengaitkannya dengan sikap perkauman serta dakwaan memperkayakan diri dan keluarga sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan yang dipertikaikan itu didakwa dibuat ketika Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 18 Mac 2023.
Dr Mahathir menuntut ganti rugi am RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta, selain menuntut permohonan maaf secara bertulis serta permohonan maaf terbuka menerusi sidang media khas.
Pengurusan kes pada 4 Disember ini akan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin bagi memaklumkan perkembangan dan tindakan selanjutnya dalam saman berkenaan.










