KPM Teliti Dakwaan Syarikat Berkongsi Alamat Dalam Tender Makanan Asrama

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti dakwaan beberapa syarikat yang memenangi tender Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua bagi tempoh 2027 hingga 2029 berkongsi alamat pendaftaran sama, susulan kebimbangan kemungkinan wujud pakatan sulit.

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya siasatan lanjut diperlukan.

Beliau menegaskan, persamaan alamat sahaja tidak membuktikan kewujudan kartel, sebaliknya penilaian perlu berdasarkan fakta serta bukti, termasuk kemungkinan pertindihan kepentingan dan corak penyertaan tender.

Bagi tender berkenaan, sebanyak 245 tender diiklankan dengan 242 dianugerahkan kepada syarikat berjaya, manakala dua dibatalkan dan satu ditangguhkan.

Wan Hashim turut menjelaskan perbezaan nilai kontrak bergantung pada keperluan institusi.

Kontrak tertinggi bernilai RM38.7 juta membabitkan sekolah sukan yang memerlukan sajian berkhasiat khusus, dengan kos harian antara RM90.84 hingga RM92.93 bagi setiap murid.

Beliau berkata semua syarikat yang berjaya perlu memenuhi syarat pendaftaran, pengalaman, keupayaan teknikal dan kewangan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, KPM menafikan dakwaan tender makanan di SMK Seri Badong, Kedah, diberikan kepada syarikat dari Terengganu.

Semakan sistem e-Perolehan mendapati syarikat yang berjaya beralamat di Yan, Kedah.

KPM menegaskan penelitian terhadap isu berkenaan penting bagi memastikan ketelusan perolehan serta menjaga kualiti makanan dan kebajikan murid di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles