KUALA LUMPUR: Sindiket dadah dipercayai menggunakan taktik merekrut warga China yang berdepan masalah kewangan untuk menyeludup kokain dari Malaysia ke Hong Kong menerusi laluan penerbangan berbeza bagi mengelakkan kawalan keselamatan ketat di lapangan terbang utama.
Polis mengesyaki dua kes penyeludupan kokain dari Pulau Pinang ke Hong Kong pada 22 dan 25 Oktober lalu mempunyai kaitan dengan sindiket sama, berdasarkan modus operandi hampir serupa yang digunakan kedua-dua suspek.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kedua-dua lelaki warga China itu dipercayai direkrut sindiket berpangkalan di negara berkenaan untuk membawa dadah ke Hong Kong.
Menurutnya, kedua-dua suspek menggunakan pasport baharu tanpa rekod perjalanan antarabangsa dan melalui laluan penerbangan hampir sama sebelum ditahan pihak berkuasa Hong Kong.
“Kemungkinan besar sindiket di China merekrut warga negara itu yang mempunyai masalah kewangan untuk membawa dadah ke Hong Kong melalui Malaysia,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek memulakan perjalanan dari Shenzhen menggunakan penerbangan AirAsia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum perjalanan mereka diatur pihak tertentu ke Pulau Pinang.
Mereka kemudian menaiki penerbangan Cathay Pacific dari Pulau Pinang ke Hong Kong.
Hussein berkata, sindiket dipercayai mengambil kesempatan terhadap laluan berkenaan bagi mengelakkan pemeriksaan keselamatan yang semakin ketat di KLIA.
Menurutnya, suspek pertama dipercayai bersetuju menjalankan tugas itu selepas ditawarkan ganjaran kewangan, manakala suspek kedua dijanjikan penyelesaian hutangnya sebagai balasan membawa dadah.
“Suspek kedua pula mempunyai masalah hutang dan dijanjikan hutangnya akan diselesaikan jika dia melakukan tugasan membawa dadah itu,” katanya.
Beliau menegaskan sindiket dadah sentiasa mencari kelemahan dalam kawalan keselamatan di pintu masuk dan keluar negara untuk melancarkan kegiatan penyeludupan.
Dalam kes pertama pada 22 Oktober lalu, Kastam Hong Kong menahan seorang lelaki warga China berusia 25 tahun sejurus tiba dari Pulau Pinang menaiki penerbangan Cathay Pacific.
Pemeriksaan bagasi daftar masuknya menemukan dua kilogram kokain.
Siasatan awal JSJN mendapati suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari dan mempunyai beberapa tempahan hotel sepanjang berada di negara ini.
Dia turut dijanjikan bayaran sebanyak RMB2,000, bersamaan kira-kira RM1,225, bagi urusan berkaitan dadah berkenaan.
Dalam kes kedua pada 25 Oktober lalu, seorang lagi lelaki warga China berusia 39 tahun ditahan Kastam Hong Kong selepas tiba dari Pulau Pinang.
Pemeriksaan bagasi kabinnya membawa kepada penemuan kira-kira 2.2 kilogram kokain yang dianggarkan bernilai HK$1.3 juta, bersamaan kira-kira RM677,000.
Hussein berkata, JSJN akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia.










