Usah Mudah Percaya Berita Tak Pasti Tentang Tun M

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya hari ini menasihatkan orang ramai diminta untuk tidak mudah percaya dengan berita tidak sahih mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Ujarnya, sebarang perkembangan terkini mengenai Dr Mahathir akan dimaklumkan oleh pihak yang sewajarnya terutama IJN yang mengendalikan rawatan Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Saya tidak dapat ulas perkembangan Dr Mahathir (hari ini), disebabkan tidak berada di sana (IJN).

“Sebagaimana saya tegaskan, jangan dengar cerita yang bukan-bukan, sebelum ini pun IJN sudah mengeluarkan kenyataan,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

Abu Bakar dalam masa yang sama mengakui ramai pihak menghubunginya untuk mengetahui keadaan semasa kesihatan Dr Mahathir.

“Saya ingin jelaskan kepada semua, jangan terpengaruh dengan berita yang tidak sah. Yang penting doakan kesihatan beliau bertambah baik. Terima kasih semua,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan juga, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran di Twitter, hari ini turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih mengenai keadaan bekas Perdana Menteri itu.

Apa yang penting ketika ini, tegas Annuar, adalah menghormati situasi keluarga Dr Mahathir dan mendoakan rawatan beliau berjalan lancar dan segera sihat sepenuhnya.

“Dipohon orang ramai tidak menyebarkan apa apa berita mengenai keadaan Tun M, kecuali datang dari keluarga atau hospital secara rasmi.

“Hormati situasi keluarga Tun saat ini,” katanya.

Petang semalam, anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina memaklumkan keadaan bapanya stabil dan memberi respon yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan pada 8 Januari lalu.

BBerkaitan

Latest articles