Universiti Perlu Lahirkan Insan Berilmu, Bukan Sekadar Tenaga Kerja – Zambry

KUALA LUMPUR: Reformasi pendidikan tinggi negara bukan hanya tertumpu kepada penyediaan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri dan teknologi, malah turut memberi penekanan kepada pembentukan insan berilmu, berakhlak, berfikiran kritis dan mempunyai jati diri yang kukuh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, khususnya Lonjakan Pembelajar Berpaksikan Kemanusiaan, Berciri Keusahawanan dan Adaptif.

Menurutnya, penekanan diberikan kepada pembangunan insan secara holistik yang berteraskan nilai kerohanian, penguasaan ilmu dan kemahiran, pemikiran analitikal serta kemahiran sosial dan kemanusiaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta penjelasan mengenai bagaimana reformasi pendidikan tinggi negara dapat memastikan universiti bukan sahaja melahirkan tenaga kerja untuk memenuhi tuntutan industri dan teknologi, tetapi turut membentuk insan yang mempunyai nilai dan jati diri.

Menurut Zambry, usaha itu turut merangkumi pengukuhan jati diri nasional serta rasa tanggungjawab mahasiswa terhadap pembangunan negara.

Dari aspek kurikulum, katanya, Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) dan pelaksanaan Pendidikan Berteraskan Nilai (Values-Based Education, VBE) memperkukuh penerapan nilai moral, etika, sejarah, kenegaraan, perlembagaan dan tanggungjawab sosial dalam pendidikan tinggi.

Beliau berkata, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut membangunkan Garis Panduan Pendidikan Berteraskan Nilai (Guidelines on Values-Based Education, GVBE) yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2026.

Jelasnya, penekanan bukan sekadar diberikan kepada pemahaman nilai, tetapi juga penghayatan dan amalan dalam kehidupan bagi memastikan pembangunan ilmu serta kompetensi berjalan seiring dengan pembentukan sahsiah.

Selain pembelajaran di bilik kuliah, pembentukan insan turut diperkukuh melalui pengalaman sebenar menerusi pelbagai platform disediakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Antaranya termasuk Program Mahasiswa Negara, iFUTURE dan Festival Idea Putrajaya yang bertujuan memperkasa kepimpinan, komunikasi, pemikiran strategik serta budaya berfikir secara kritis.

Platform berkenaan juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk berdialog dan menghasilkan penyelesaian terhadap pelbagai isu serta cabaran semasa.

Dalam memenuhi keperluan industri dan teknologi, Zambry berkata, kerajaan berpandangan bahawa pembangunan kompetensi dan pembentukan insan perlu bergerak seiring.

Katanya, kerjasama universiti dengan industri melalui pendekatan seperti Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning, WBL), Industry on Campus (IoC) dan Teaching Factory, selain inisiatif Government-Industry Coordination Body (GITC), memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap persekitaran kerja sebenar.

Menurutnya, pengalaman itu bukan sahaja meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran graduan, malah perlu dimanfaatkan untuk membina pemikiran kritis, keupayaan menyelesaikan masalah, semangat kerjasama dan etika profesional.

Beliau menegaskan, hasrat KPT adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan, malah berupaya mencipta peluang, memimpin perubahan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

“Inilah pembina negara yang ingin kita lahirkan melalui pembangunan ‘otak dan watak’ secara seimbang, iaitu berilmu, berfikiran kritis, berakhlak dan mempunyai jati diri yang kukuh, dengan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles