KUALA LUMPUR: Seramai 47,349 masyarakat India berkhidmat dalam sektor awam setakat September 2026, merangkumi 3.63 peratus daripada keseluruhan 1.3 juta penjawat awam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, jumlah itu berdasarkan data sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) yang merekodkan keseluruhan 1,302,713 penjawat awam.
Menurutnya, data berkenaan melibatkan jawatan sebenar berwaran tetap dan tertakluk kepada pengemaskinian oleh pengguna serta pegawai sumber manusia di agensi masing-masing.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta statistik terkini penyertaan masyarakat India dalam perkhidmatan awam mengikut skim perkhidmatan, sektor, gred jawatan serta kadar kejayaan permohonan mereka.
Mustapha berkata, daripada jumlah itu, seramai 41,891 orang berkhidmat dalam perkhidmatan awam Persekutuan, diikuti 2,616 orang di pihak berkuasa tempatan, 1,652 orang di badan berkanun Persekutuan, 1,007 orang dalam perkhidmatan awam negeri dan 183 orang di badan berkanun negeri.
Mengikut kumpulan perkhidmatan pula, seramai 31,628 orang berada dalam kumpulan pengurusan dan profesional, manakala 15,438 orang dalam kumpulan pelaksana.
Selain itu, seramai 220 orang berada dalam kumpulan pengurusan tertinggi, sementara 63 orang lagi direkodkan dalam kategori tiada maklumat kumpulan.
Dari segi skim perkhidmatan, pendidikan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 22,236 orang, diikuti perubatan dan kesihatan seramai 14,356 orang.
Skim lain termasuk kemahiran dengan 3,434 orang, pentadbiran dan sokongan (1,853), perundangan dan kehakiman (1,358), kewangan (910) serta tadbir dan diplomatik (603).
Sementara itu, data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi tempoh 2021 hingga 2025 merekodkan sebanyak 194,807 permohonan daripada masyarakat India untuk memasuki perkhidmatan awam.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 15,875 pemohon atau 8.14 peratus menghadiri temu duga, manakala 5,289 orang atau 33.32 peratus dilantik ke perkhidmatan awam.










