KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,601 penyertaan diterima bagi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 yang mempertandingkan 60 kategori merangkumi televisyen, radio dan media baharu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, jumlah penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan penggiat industri kreatif dan penyiaran negara untuk menghasilkan karya berkualiti yang mampu diketengahkan di peringkat kebangsaan.
Menurutnya, daripada keseluruhan penyertaan, sebanyak 1,106 membabitkan kategori televisyen, diikuti radio (421) dan media baharu (74).
“Bagi penganjuran ASA 2026, sebanyak 60 kategori dipertandingkan, merangkumi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu.
“Selain itu, dua kategori khas turut diberikan pengiktirafan, iaitu Anugerah Khas Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kira Detik Anugerah Seri Angkasa 2026 bertemakan ‘Segalanya Bermula Di Sini’ pada Rabu.
Majlis kemuncak ASA 2026 dijadual berlangsung pada 24 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Abdul Halim berkata, sejak diperkenalkan pada 1972, ASA berkembang menjadi platform pengiktirafan berprestij kepada penggiat industri kreatif dan penyiaran negara, selain memainkan peranan penting dalam mengangkat kecemerlangan serta profesionalisme industri berkenaan.
Menurutnya, pengiktirafan itu turut merangkumi sumbangan tenaga kerja di belakang tabir seperti penerbit, penulis skrip, pengarah, jurukamera, jurutera audio, penyunting dan kru teknikal.
“Kecemerlangan industri tidak lahir daripada teknologi semata-mata, tetapi daripada gabungan bakat, kreativiti, keberanian mencuba dan kesungguhan menghasilkan karya yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap penyiaran serta cara masyarakat menikmati kandungan.
Bagaimanapun, katanya, kreativiti, kejujuran dan unsur kemanusiaan kekal menjadi kekuatan utama sesebuah karya dalam menyentuh emosi penonton.
Beliau turut menggesa penggiat industri supaya berani menghasilkan karya tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus mengangkat identiti Malaysia ke persada dunia.
Katanya, kekayaan budaya, keunikan bahasa, kepelbagaian masyarakat dan bakat muda negara perlu dimanfaatkan untuk menghasilkan karya, harta intelek, peluang pekerjaan serta nilai ekonomi.
“Matlamat kita bukan sekadar mahu menghasilkan lebih banyak kandungan, tetapi kandungan yang bermutu, berdaya saing, mempunyai identiti dan mampu meninggalkan kesan.
“Kita mahu karya Malaysia dikenali bukan kerana dari mana ia datang semata-mata, tetapi kerana betapa kuatnya ia menyentuh hati dunia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja, rakan strategik, jawatankuasa penganjur dan seluruh warga kerja yang menjayakan ASA 2026.
Menurutnya, kerjasama semua pihak penting bagi menyuburkan bakat, menyemarakkan kreativiti dan membina industri kreatif Malaysia yang lebih kukuh serta mampan.










