KUALA LUMPUR: Seramai 63,276 golongan belia mendapat manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat 31 Ogos 2026, bersamaan 50.9 peratus daripada keseluruhan penerima skim berkenaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, skim itu menawarkan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 kepada pembeli rumah pertama, termasuk golongan ekonomi gig dan individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan keberkesanan SJKP dalam memperluas akses kepada pembiayaan perumahan, khususnya bagi membantu golongan belia memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai strategi kerajaan mengekalkan kestabilan harga rumah serta meningkatkan pemilikan kediaman dalam kalangan belia dan golongan M40, khususnya di kawasan berpendapatan tinggi.
Menurut Nga, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman berkualiti dan berdaya huni, sama ada melalui pemilikan atau sewaan.
Katanya, kerajaan Persekutuan terus bekerjasama dengan agensi perumahan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan penawaran rumah mampu milik, khususnya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Antara pendekatan dilaksanakan termasuk mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan serta menggalakkan pembangunan secara usaha sama, subsidi silang dan pertukaran tanah bagi mengurangkan kos pembangunan.
Dalam pada itu, Nga berkata, data unit rumah di bawah kuota Bumiputera yang masih belum terjual tidak diselenggara secara berpusat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Jelasnya, penetapan kuota Bumiputera, syarat pelepasan kuota dan pemantauan status unit berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Menurutnya, secara umumnya, pelepasan kuota dipertimbangkan berdasarkan permohonan pemaju selepas memenuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri, termasuk tempoh pemasaran kepada pembeli Bumiputera serta bukti usaha pemasaran yang dilaksanakan.
“KPKT menghormati bidang kuasa kerajaan negeri dalam perkara berkaitan kuota Bumiputera. Namun pada masa sama, kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dengan kerajaan negeri, termasuk perkongsian amalan terbaik,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan dasar perumahan kekal responsif terhadap keperluan setempat, selain mengimbangi matlamat meningkatkan pemilikan rumah dengan kecukupan penawaran dan kemampanan pasaran perumahan negara.
Mengulas pemilikan kediaman dalam kalangan Bumiputera, Nga berkata, data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan sebanyak 125,247 transaksi kediaman atau 53.2 peratus daripada keseluruhan transaksi pada 2025 melibatkan pembeli Bumiputera.
Jumlah itu berbanding 110,289 transaksi melibatkan pembeli bukan Bumiputera dalam tempoh sama.
Pada 2024, sebanyak 128,747 transaksi kediaman atau 52.3 peratus daripada keseluruhan transaksi direkodkan melibatkan pembeli Bumiputera, berbanding 117,295 transaksi oleh pembeli bukan Bumiputera.










