Kemalangan Maut Di Jalan Kuching : Pemandu BYD Akan Didakwa Esok

KUALA LUMPUR, — Pemandu kereta BYD yang dikaitkan dengan kejadian kemalangan maut di Jalan Kuching akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret 13 (Trafik), Jalan Duta, pada jam 9 pagi esok bagi menghadapi tiga pertuduhan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, pemandu berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur di Hospital Damansara kira-kira jam 11.30 pagi tadi selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Pemandu itu kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada jam 3 petang. Selepas perbincangan, pihak pendakwaan bersetuju supaya pemandu tersebut didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1), Seksyen 42(2) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, media melaporkan Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas kenderaan dinaiki bersama bapanya dirempuh dari belakang dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang sebuah Perodua Bezza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal dari arah Pusat Bandar menghala ke Segambut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika aliran trafik bergerak perlahan, Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis BYD Seal.

“Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan lalu merempuh tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

BBerkaitan

Latest articles