Mahkamah Tetapkan 14 Oktober Dengar Permohonan Najib Tangguh Hukuman 1MDB

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dalam kes membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditangguhkan sementara menunggu rayuannya.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin ketika prosiding pengurusan kes yang berlangsung hari ini.

Najib memohon penangguhan pelaksanaan hukuman selepas mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Hukuman penjara 15 tahun berkenaan diperintahkan bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sementara itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, hadir di Kompleks Mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi bersama dua anak lelakinya.

Ditanya mengenai status pembayaran denda RM50 juta yang dikaitkan dengan syarat pengampunan bersyarat bapanya, Nooryana berkata beliau tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu,” katanya ringkas ketika ditemui media.

Beliau turut tidak memberikan sebarang ulasan lanjut ketika ditanya sama ada jumlah RM50 juta yang disyaratkan itu sudah mencukupi.

Dalam keputusan pada 26 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah, mendapati Najib bersalah atas kesemua 25 pertuduhan berkaitan kes 1MDB, iaitu empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion.

BBerkaitan

Latest articles