UMNO tidak akan bergabung dengan PH – Mahdzir Khalid

KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan tuduhan bahawa parti itu akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak memperoleh majoriti penuh untuk membentuk kerajaan.

Mahdzir Khalid, berkata dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya berasaskan kepada andaian dengan tujuan untuk memberi gambaran yang salah kepada pengundi ketika kempen PRU15.

“Tan Sri Muhyiddin membuat kenyataan atau ucapan yang berasaskan kepada andaian, orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP. Jadi bila beliau buat kenyataan seumpama itu seolah-olah mahu memberi gambaran bahawa BN nak bergabung dengan PH, jadi lebih baik tak payah beri undi kepada BN

“Kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu memberi gambaran yang salah kepada masyarakat sebab tidak ada pun sebarang kenyataan pimpinan BN malah Perhimpunan Agung Umno sendiri menyebut no DAP no Anwar, jadi jelas tidak timbul soal mahu bergabung,”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Peserta FELCRA Berhad di Pusat Komuniti, Padang Kerasak di sini, hari ini.

Tegas Mahdzir, BN secara jelas masuk ke gelanggang PRU dengan matlamat untuk mendapat majoriti dan mewujudkan kerajaan.

BN juga katanya tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama PH.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, ada kemungkinan akan wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15 bagi membentuk kerajaan.

Muhyiddin juga berkata, kerjasama itu boleh membawa musibah kepada orang Melayu kerana Anwar akan membawa DAP masuk bersama untuk membentuk kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles