KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil kononnya dirimya dan beberapa lagi ahli dan pemimpin parti itu akan dipecat malam tadi tidak berlaku.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut menambah hal berkenaan juga tidak langsung dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah isu yang dibawa Isham, berhubung UMNO perlu bergerak sendiri dalam pilihan raya, selain menegaskan dasar perjuangan parti itu yang berbeza dengan DAP tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang sama.
“Isu apa yang dibangkitkan? Dia (Isham) pun tidak datang, dia pun tidak bangkitkan apa-apa,” kata Asyraf Wajdi dalam sidang media selepas mesyuarat tamat.
Tambah Asyraf Wajdi, isu yang dibangkitkan Isham sudah tidak relevan kerana parti telah memutuskan untuk mengadakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan telah dibuat 23 Novermber tahun lalu.
Keputusan tersebut juga telah diabsahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada awalnya atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau ingat lagi pada malam tersebut kita bermesyuarat hampir empat jam lebih habis pukul 1.38 pagi.
“Kalau kita hanya sekadar membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong mengikut perlembangaan parti kita memang kena patuh kerana kita parti yang mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, kesemua 56 ahli MKT UMNO bersetuju untuk mengadakan kerajasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, status keahlian Datuk Muhammad Jailani Khamis diserahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembi itu sebelum ini dipanggil untuk mengadap Lembaga Disiplin UMNO susulan kehadiran beliau ke program kempen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil di Johor baru-baru ini.