SHAH ALAM: PAS digesa agar tidak menjual “mimpi masa depan” menerusi kerangka EHSAN 2030 dengan cara memadam rekod perkhidmatan dan bantuan yang sedang dinikmati rakyat Selangor hari ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, dakwaan Perwakilan PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar bahawa rakyat belum merasai manfaat kekayaan negeri adalah kenyataan dangkal yang sengaja mengetepikan fakta.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang merangkumi 46 program kebajikan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan telah disalurkan secara berterusan kepada rakyat.
“BINGKAS sahaja menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada sekitar 30,000 penerima dengan peruntukan kira-kira RM103 juta setahun.
“Sehingga 7 April 2026, seramai 27,619 penerima direkodkan menerima manfaat program tersebut.
“Jadi apabila PAS mengatakan rakyat masih belum merasai manfaat kekayaan Selangor, persoalannya mudah. Mereka yang menerima BINGKAS setiap bulan itu siapa? Mereka yang mendapat manfaat jualan murah, subsidi, bantuan kesihatan, bantuan pendidikan dan pelbagai program kebajikan negeri itu siapa?” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Saifuddin mengulas lanjut, rekod bantuan itu belum merangkumi Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Warga Emas serta Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai lebih RM130 juta yang menyediakan pelbagai subsidi serta bantuan asas.
Mengenai sasaran PAS untuk memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen di Selangor, beliau menyifatkannya sebagai impian yang dibenarkan dalam sistem demokrasi.
Namun, beliau menegaskan bahawa PAS perlu tampil dengan keberanian mengakui fakta sekiranya mahu mentadbir negeri maju berkenaan.
“EHSAN 2030 boleh sahaja dijual sebagai tawaran politik PAS, cuma jangan menjual mimpi masa depan dengan memadam rekod Selangor hari ini.
“Politik yang matang bukan pertandingan siapa paling pandai mencipta persepsi, tetapi siapa yang mampu membuktikan dasar, kemampuan dan rekod kepada rakyat.
“Kritik menawarkan penambahbaikan. Propaganda pula memadam fakta demi membina cerita sendiri. Rakyat Selangor cukup matang untuk membezakan kedua-duanya,” tegas beliau lagi.










