KUALA LUMPUR: PAS wajar menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 56 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan parti itu mempunyai kuasa tawar-menawar yang kukuh dalam menentukan dasar negara.
Pandangan tersebut dikemukakan ahli PAS yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang berpendapat bahawa strategi berkenaan diinspirasikan daripada kejayaan gabungan politik di Sabah dan Sarawak yang berupaya mempengaruhi keputusan Kerajaan Persekutuan melalui penguasaan blok kerusi yang signifikan.
“Apa yang Sabah dan Sarawak telah ajarkan kepada kita di Semenanjung? Jika anda mempunyai blok melebihi 56 kerusi di Parlimen, maka anda boleh mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.
“Sebab itu PAS perlu berusaha dalam PRU akan datang untuk memenangi 56 kerusi Parlimen, iaitu peningkatan hanya 12 peratus daripada jumlah sedia ada. Sasaran ini adalah penting dan mesti dikekalkan dalam mana-mana perbincangan kerjasama dengan mana-mana parti,” katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya hari ini.
Zaid menjelaskan, penguasaan sekurang-kurangnya 56 kerusi Parlimen akan membolehkan PAS mendesak pelaksanaan dasar penting, termasuk penubuhan Perbadanan Amanah Tanah Melayu bagi mengembalikan potensi pembangunan tanah rizab Melayu yang terbiar.
Menurut beliau, penggubalan undang-undang baharu diperlukan bagi menyelesaikan isu tanah Melayu yang tidak dapat dibangunkan akibat kesukaran mengesan waris penerima hak milik.
Selain itu, Zaid turut mengesyorkan agar undang-undang dipinda bagi memberi kuasa yang lebih luas kepada kerajaan negeri dalam mengurus dan membangunkan sumber mineral serta unsur nadir bumi (REE).
“Kita boleh meluluskan undang-undang untuk membolehkan negeri-negeri membangunkan mineral, nadir bumi dan lain-lain dengan memberikan kuasa kepada negeri dari segi pengeluaran lesen, pengambilan pekerja, kelulusan alam sekitar serta menentukan apa yang menjadi kepentingan nasional.
“Dengan cara ini, kita boleh menghalang kerajaan Persekutuan yang tidak mesra daripada menyekat negeri-negeri yang dikuasai pembangkang daripada membangunkan nadir bumi dan mineral,” katanya.
Beliau menambah, pembentukan blok kerusi yang kukuh itu juga penting bagi membolehkan parti berkenaan melindungi kepentingan syarikat minyak dan gas negara, Petronas, demi kesejahteraan negara secara keseluruhan.










