Anak Dakwa Azeez Ditahan Di Dang Wangi Semalam

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dilaporkan ditahan di Balai Polis Dang Wangi dan dijangka direman hari ini.

Perkara itu didakwa anaknya, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez, yang memaklumkan penahanan bapanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Menurut Khairul, Abdul Azeez sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Penahanan berkenaan juga menyebabkan bapanya tidak dapat menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bersama rakan seperjuangan seperti yang telah dirancang.

“Saya tidak pernah menyangka satu hari nanti saya perlu menulis tentang ayah saya dalam keadaan seperti ini.

“Selama ini saya melihat ayah sebagai seorang yang sangat kuat,” katanya.

Khairul mengakui situasi yang dihadapi bapanya ketika ini menimbulkan perasaan sedih, takut dan kecewa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak mahu membuat kesimpulan awal atau menghukum mana-mana pihak sebelum proses perundangan selesai.

Beliau berharap segala prosiding terhadap bapanya dapat dijalankan secara adil, telus dan tanpa sebarang prejudis.

“Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul turut menyeru orang ramai mendoakan agar bapanya diberikan kekuatan dan ketenangan serta dilindungi sepanjang berdepan proses berkenaan.

Terdahulu, Abdul Azeez dilaporkan bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semakan sistem mahkamah mendapati bekas Ahli Parlimen Baling itu dijadualkan menghadapi pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi.

Pada 27 Ogos lalu, Abdul Azeez bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan direman selama tujuh hari sehingga 2 September bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Laporan RCI berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu turut mengesyorkan audit forensik dijalankan terhadap beberapa keputusan pelaburan terdahulu.

Cadangan itu dibuat susulan penemuan berhubung kemerosotan nilai aset TH yang ketara, selain beberapa pelaburan bermasalah yang dikenal pasti untuk penelitian lanjut.

Laporan berkenaan turut menyentuh kewujudan transaksi mencurigakan serta dakwaan penyembunyian maklumat dalam pengurusan institusi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles