Bekas Undang Dedah Bukti Dakwa MB Tandatangan Dokumen Pemecatan Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Bekas Undang Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, tampil mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, pernah menandatangani satu dokumen yang didakwa berkaitan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Maarof turut menunjukkan salinan dokumen berkenaan kepada media semasa sidang media pada lewat malam tadi, sambil mendakwa ia ditandatangani Ismail dalam satu pertemuan di Istana Laguna Biru pada 3 Ogos lalu.

Menurut Maarof, pertemuan itu turut dihadiri beberapa individu lain termasuk bekas Undang Yang Empat.

“Kami berharap Setiausaha Kerajaan Negeri serta pentadbiran negeri akan mematuhi proklamasi berhubung pemecatan Tuanku Muhriz.

“Undang Yang Empat juga ingin menyatakan bahawa Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada 19 April 2026,” katanya pada sidang media itu.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Undang Johol, Datuk Mohammed Abdullah, dan bekas Undang Rembau, Abdul Rahim Yasin.

Maarof dan Abdul Rahim ketika ini masing-masing sedang mencabar keputusan berhubung pemecatan mereka sebagai Undang.

Dakwaan terbaharu itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian terbuka Ismail sebelum ini yang menegaskan kesetiaannya kepada Tuanku Muhriz.

Pada 6 September lalu, Ismail menyatakan beliau dan pentadbiran negeri kekal taat serta teguh menyokong Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ismail berkata beliau mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh “Undang Yang Empat” pada 5 September, namun menegaskan fokusnya ketika ini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Apa jua pandangan Undang Yang Empat, itu adalah hak mereka.

“Fokus saya sekarang adalah melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Perkembangan terbaharu itu mencetuskan persoalan berhubung kesahihan dokumen yang didakwa ditandatangani Ismail serta kedudukan sebenar proses yang didakwa membawa kepada perubahan kepimpinan institusi diraja Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles