UMNO Pahang Gesa Isu Orang Asli Tak Dijadikan Modal Politik

KUANTAN: UMNO Pahang mengingatkan semua pihak agar tidak mengeksploitasi isu membabitkan masyarakat Orang Asli untuk kepentingan politik, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan perkara berkenaan mengikut saluran yang sewajarnya.

Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata kebajikan, hak serta masa depan masyarakat Orang Asli perlu ditangani secara bertanggungjawab berasaskan fakta, bukannya dipengaruhi persepsi, emosi atau maklumat yang tidak lengkap.

Menurut beliau, kerajaan negeri selama ini membuktikan komitmennya terhadap pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai dasar yang dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya ketika isu tertentu menjadi perhatian umum.

Katanya, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pewartaan tanah rizab Orang Asli, pemberian hak milik tanah, pembinaan Rumah Rakyat Pahang Orang Asli, bantuan pendidikan dan kebajikan, selain pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosioekonomi melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).

Mengulas pertikaian tanah yang melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cot, Mukim Luit, Maran, Shahaniza berkata kerajaan negeri tidak pernah menutup ruang rundingan bagi mencari penyelesaian terbaik.

Sebaliknya, katanya, beberapa sesi libat urus telah diadakan melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian dicapai tanpa mengetepikan undang-undang dan kebajikan pihak yang terlibat.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati proses yang sedang berlangsung serta mengelakkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat atau mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Sebagai parti yang menjadi tunjang kerajaan negeri, UMNO Pahang berharap segala usaha mencari penyelesaian dapat diteruskan melalui pendekatan musyawarah, ihsan dan semangat muafakat tanpa mengabaikan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahaniza turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, akan terus mengekalkan keseimbangan antara agenda pembangunan, pemeliharaan hak masyarakat Orang Asli dan kepentingan semua pihak secara adil serta bertanggungjawab.

Beliau pada masa sama menggesa masyarakat supaya mengutamakan fakta, menghormati institusi dan memberi ruang kepada agensi berkaitan menjalankan tugas mereka secara profesional demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.

Isu tanah di Kampung Sungai Cot sebelum ini menjadi perhatian selepas tular rakaman video memaparkan seorang wanita Orang Asli bersama anaknya merayu untuk bertemu Perdana Menteri bagi mendapatkan bantuan berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan dengan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.

Difahamkan, pertikaian itu melibatkan tanah yang diusahakan penduduk Orang Asli, namun kawasan tersebut dilaporkan mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.

Susulan insiden itu, tiga penduduk Orang Asli ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.

BBerkaitan

Latest articles