‘Tunjuk Satu Lot Tanah Di KL Yang Tiada Nilai’ – Akmal Sindir Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung keputusan kerajaan menetapkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada kadar nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun.

Akmal mempersoalkan asas keputusan mengurangkan premium tanah berkenaan daripada anggaran asal RM4.67 juta kepada RM1,000, sedangkan penilaian awal oleh agensi bertanggungjawab sudah menetapkan nilai berkenaan.

Menurutnya, meskipun tanah itu dikatakan tidak mempunyai nilai komersial, ia tetap mempunyai nilai berdasarkan penilaian yang dibuat.

“Apabila kerajaan menetapkan premium nominal sebanyak RM1,000, yang berubah ialah jumlah yang perlu dibayar. Penilaian asal tetap RM4.67 juta.

“Jadi, YB Menteri, atas asas apa premium RM4.67 juta itu dikurangkan kepada RM1,000?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau turut mencabar pihak berkenaan menunjukkan sekurang-kurangnya satu lot tanah di Kuala Lumpur yang langsung tidak mempunyai nilai.

“Dan kalau benar ada tanah yang langsung tiada nilai di Kuala Lumpur, cuba tunjukkan satu lot saja. Saya pun nak tahu di mana letaknya,” katanya.

Hantaran itu turut diakhiri dengan ungkapan sinis ‘MADANI bekerja’.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000 berbanding anggaran terdahulu kira-kira RM4.67 juta.

Hannah mengumumkan keputusan itu pada majlis makan malam ulang tahun ke-103 KLSCAH pada 14 November lalu, susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan.

KLSCAH merupakan institusi yang mempunyai nilai sejarah dan diiktiraf sebagai bangunan warisan kebangsaan sejak 2007.

Bagaimanapun, dalam penjelasan terbaharu pada Isnin, Hannah berkata pengurangan premium itu mengambil kira perubahan status tanah daripada komersial kepada institusi.

Menurutnya, perubahan tersebut menyebabkan tanah berkenaan tidak lagi boleh dibangunkan untuk tujuan komersial seperti pembinaan kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya dikekalkan bagi kegunaan institusi dan pemeliharaan bangunan warisan.

Beliau berkata, jawatankuasa penilaian bersetuju menetapkan premium RM1,000 selepas mengambil kira perubahan status serta permohonan pengurangan premium oleh pihak pengurusan KLSCAH.

Menurut surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah RM5,011 termasuk premium tanah, sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran, manakala kadar sewa tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.

BBerkaitan

Latest articles