KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan prestasi pelaburan memberangsangkan dengan pendapatan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 30 peratus berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu mencerminkan ketahanan portfolio pelaburan dana persaraan berkenaan meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global, termasuk kelemahan pasaran ekuiti dan peningkatan hasil bon.
KWSP berkata, pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2026 turut meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata prestasi bagi tempoh sembilan bulan itu menunjukkan daya tahan portfolio pelaburan yang dipelbagaikan serta kesinambungan strategi pelaburan yang dilaksanakan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan pertumbuhan pendapatan lebih sederhana pada suku keempat susulan kelemahan pasaran ekuiti global dan peningkatan hasil dalam pasaran bon.
“Pada awal suku ini, risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, inflasi yang berterusan dan penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, perkembangan itu menuntut KWSP terus berdisiplin dalam pengurusan portfolio dengan menyeimbangkan peluang pelaburan dan risiko, selain mengekalkan fokus terhadap pulangan mampan jangka panjang serta kesejahteraan persaraan ahli.
Menurut KWSP, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar pendapatan pelaburan bagi suku ketiga, dengan hasil meningkat tiga peratus kepada RM17.41 bilion berbanding RM16.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah itu mewakili 67 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku berkenaan, disokong daya tahan pasaran ekuiti global, pendapatan korporat yang kukuh serta pelaburan berterusan dalam sektor berkaitan AI.
KWSP berkata, keadaan pasaran berkenaan turut memberi ruang kepada pengurus dana untuk mengurus portfolio secara aktif dan menjana nilai tambahan.
Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM7.12 bilion atau 28 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga.
Meskipun peningkatan hasil di pasaran utama memberi tekanan kepada penilaian portfolio bon, kelas aset itu terus menjana pendapatan berdaya tahan dan membantu mengekalkan kestabilan keseluruhan portfolio.
Infrastruktur dan hartanah pula merekodkan pendapatan RM890 juta, manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan RM400 juta sepanjang suku berkenaan.
Setakat 30 September lalu, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.55 trilion, dengan 38 peratus daripadanya ditempatkan di pasaran antarabangsa.
Pelaburan global itu menjana pendapatan RM13.68 bilion, bersamaan 53 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2026.
Bagi simpanan konvensional dan Simpanan Shariah, masing-masing mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM21.39 bilion dan RM4.43 bilion.
Dalam perkembangan berkaitan, KWSP mendaftarkan kira-kira 659,000 ahli baharu sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah keahlian melebihi 18.6 juta.
Jumlah ahli aktif turut meningkat kepada 11.2 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 60:40.
Jumlah caruman bagi suku ketiga 2026 pula meningkat 9.34 peratus kepada RM30.44 bilion berbanding RM27.84 bilion pada suku sama tahun lalu.
KWSP turut merekodkan caruman sukarela sebanyak RM18.27 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, mencerminkan kesedaran berterusan ahli untuk memperkukuh simpanan persaraan masing-masing melangkaui caruman mandatori.










