KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pemimpin politik paling popular di Malaysia apabila merekodkan kadar kepuasan tertinggi dalam kalangan responden menerusi tinjauan terbaharu Merdeka Center.
Kajian yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April melibatkan 1,209 responden itu mendapati 52 peratus berpuas hati dengan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri, sekali gus meletakkannya di kedudukan teratas berbanding enam lagi tokoh politik yang dinilai.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berada di tempat kedua dengan kadar penerimaan 50 peratus, manakala bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencatatkan 36 peratus.
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memperoleh sokongan 32 peratus, diikuti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan 28 peratus.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula merekodkan 25 peratus.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima kadar kepuasan paling rendah iaitu 24 peratus, dengan 61 peratus responden menyatakan mereka tidak berpuas hati terhadap prestasinya.
Dalam perkembangan sama, tinjauan tersebut menunjukkan pandangan rakyat mengenai hala tuju negara masih berbelah bahagi.
Sebanyak 47 peratus responden berpendapat Malaysia berada di landasan yang betul, manakala 50 peratus pula berpandangan sebaliknya.
Bagaimanapun, Merdeka Center menyatakan angka itu menunjukkan peningkatan berbanding pertengahan tahun lalu apabila kurang daripada 40 peratus rakyat percaya negara sedang bergerak ke arah yang tepat.
Faktor ekonomi terus menjadi kebimbangan utama rakyat apabila 73 peratus responden menganggap isu berkenaan sebagai cabaran terbesar negara ketika ini.
Dalam kalangan mereka yang berpendapat Malaysia berada di landasan salah, lebih separuh mengaitkannya dengan isu kos sara hidup, keadaan ekonomi semasa dan harga bahan api.
Tahap kepuasan terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan pula berada pada 46 peratus, berbanding 51 peratus yang tidak berpuas hati, meskipun kadar ketidakpuasan itu menunjukkan trend penurunan berbanding tahun lalu.
Dari sudut pentadbiran, kerajaan Persekutuan mencatatkan penilaian yang hampir seimbang dengan 50 peratus responden berpuas hati, manakala 48 peratus lagi menyatakan sebaliknya.
Kajian sama turut mendapati rakyat terus memberikan sokongan kukuh terhadap agenda reformasi institusi. Sebanyak 73 peratus menyokong had maksimum dua penggal atau 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri, manakala 84 peratus menyokong pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Selain itu, 58 peratus responden turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pemilihan secara langsung bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.










