Tiga Sekeluarga Maut Dirempuh Lori Imigresen Berada Di Tempat Selamat

KUALA LUMPUR: Tiga daripada empat sekeluarga maut selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.

Lebih mengejutkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan keluarga terbabit berada di kawasan pembahagi jalan yang selamat ketika kejadian berlaku.

Memetik BH, berdasarkan rakaman CCTV, empat sekeluarga itu berada di pembahagi jalan di persimpangan Jalan Sultan Ismail, dari arah Medan Tuanku menghadap Maju Junction, sebelum bergerak ke arah Jalan Chow Kit, kira-kira jam 1 pagi.

Pada masa sama, sebuah lori JIM yang datang dari arah bangunan Wisma FGV di Jalan Sultan Ismail, dengan lampu beacon dinyalakan, secara tiba-tiba memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ketika lampu isyarat masih merah.

Lori terbabit kemudian dilanggar sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah Chow Kit menuju Maju Junction.

Akibat rempuhan itu, tiga daripada empat ahli keluarga berkenaan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata siasatan awal berdasarkan rakaman CCTV mendapati keluarga mangsa berada di kawasan yang sepatutnya selamat untuk melintas jalan ketika kejadian.

“Berdasarkan siasatan dan pengamatan rakaman CCTV semasa kejadian, kedudukan keluarga itu berada adalah di kawasan selamat untuk melintas jalan namun mereka dirempuh lori Jabatan Imigresen.

“Semua sedia maklum, sistem CCTV di kawasan berkenaan adalah di tahap terbaik dan mampu membantu kita menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori JIM terbabit kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lori JIM berkenaan dipercayai dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) bagi satu operasi Jabatan Imigresen sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles