10,000 Pelarian Rohingya Bakal Ditempatkan Di Türkiye

KUALA LUMPUR: Sejumlah 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur selama tiga hingga enam bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan berkenaan susulan hasil lawatan kerja rasmi beliau ke Republik Türkiye baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif itu dikemukakan dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) bagi mencari penyelesaian lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan terhadap isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia.

“Persetujuan Kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu bukan sekadar memindahkan pelarian ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, bidang latihan kemahiran akan diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Türkiye bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan berkenaan.

“Melalui pendekatan ini, pelarian Rohingya yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara penerima,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu turut selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui pendekatan penempatan semula di negara ketiga yang mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan dan maruah golongan pelarian.

Jelasnya, penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif berkenaan bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan.

Penyelarasan itu merangkumi proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dengan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles