KUALA TERENGGANU: Arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat bagi memberi laluan kepada solat Jumaat dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Menerusi hantaran di Facebook, Khoo berkata, beliau menemui notis arahan penutupan sementara itu ketika mengunjungi sebuah premis 7-Eleven di Kuala Terengganu yang mempamerkan notis berkenaan di pintu masuknya.
Beliau mempersoalkan pelaksanaan arahan itu yang disifatkan boleh menjejaskan kebebasan perniagaan serta gaya hidup masyarakat bukan Islam sekiranya turut terpakai kepada semua jenis premis komersial.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai gambaran pengaruh dasar keagamaan konservatif Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap pentadbiran awam.
“Dr Sam, salah seorang bakal Perdana Menteri, telah mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menggantung operasi semua premis komersial dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat, sekali gus melarang sebarang aktiviti perniagaan dalam tempoh berkenaan.
“Mana-mana pihak yang melanggar arahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, pihak majlis bandaraya juga mempunyai kuasa membatalkan lesen perniagaan dan mengarahkan premis tertentu ditutup,” katanya.
Menurut beliau, apabila peraturan sedemikian dikenakan terhadap semua premis perniagaan, kebebasan menjalankan perniagaan dan gaya hidup masyarakat bukan Islam pastinya turut terkesan.
Justeru, beliau berpandangan dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan kepentingan semua pihak tidak terjejas.
“Kita menghormati pelaksanaan solat Jumaat oleh umat Islam, namun dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengelakkan operasi perniagaan masyarakat bukan Islam terjejas.
“Ini merupakan kebimbangan yang perlu diberi perhatian oleh semua sektor masyarakat,” katanya.
Berdasarkan notis rasmi MBKT bertarikh 27 Oktober 2026 yang dipamerkan di premis berkenaan, arahan itu terpakai kepada semua pasar raya, premis perniagaan dan pasar awam dalam kawasan pentadbiran MBKT meliputi daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Arahan berkenaan dibuat selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (MMKN) kali ke-37 pada 2014.
Notis itu turut menyatakan kegagalan mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil MBKT, termasuk denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, MBKT turut mempunyai kuasa membatalkan kelulusan lesen yang diberikan serta mengarahkan penutupan perniagaan sekiranya pemilik premis gagal mematuhi larangan berkenaan.










