Tiada Pelajar Tercicir Kerana Miskin, MARA Jejak Pelajar Gagal Daftar MRSM

KUALA LUMPUR: Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengarahkan semua maktab rendah sains MARA (MRSM) menjejaki pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 yang ditawarkan tempat tetapi gagal melaporkan diri, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, tiada had masa ditetapkan bagi pelajar yang tercicir untuk mendaftar, namun pihak pengurusan maktab wajib mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kemiskinan.

“Pengetua mesti kenal pasti siapa yang tidak hadir hari ini. Hubungi keluarga, dapatkan kepastian. Kalau pilih sekolah lain, itu hak mereka. Tetapi jika puncanya kewangan, MARA akan pastikan mereka dipujuk dan dibantu,” katanya memetik Malaysia Gazette.

Beliau menegaskan, isu ketidakmampuan keluarga tidak boleh menjadi alasan untuk pelajar cemerlang terlepas peluang pendidikan berkualiti di MRSM.

Tegasnya, pihak pengurusan MARA telah diarahkan menghubungi semua pelajar yang tidak melapor diri dan menyediakan bantuan sewajarnya.

Sebelum ini, Asyraf menarik perhatian ramai apabila memberi kata-kata semangat kepada Adik Nur Zara Damai Yusaini, 13, yang hampir menarik diri daripada mendaftar ke MRSM kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos ke asrama.

“Selagi saya ada, saya tidak mahu ada seorang pun anak bangsa tercicir kerana miskin,” katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa yang berdepan masalah kewangan supaya tidak berdiam diri, sebaliknya terus berhubung dengan pihak MRSM bagi mendapatkan bantuan.

BBerkaitan

Latest articles