“Saya Bukan Lawan Dia” – Maszlee Digesa Cari Lawan Di Puteri Wangsa

BATU PAHAT: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada keperluan untuk beliau mengadakan dialog atau debat bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik kerana kedua-duanya tidak bertanding di kerusi yang sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Onn Hafiz, cabaran yang dikemukakan Maszlee itu tidak relevan memandangkan bekas Menteri Pendidikan berkenaan kini bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, bukannya di Simpang Renggam yang pernah diwakilinya sebelum ini.

“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia yang lari dari Simpang Renggam.

“Kalau benar mahu berdebat atau berdialog, buatlah dengan calon yang bertanding di Puteri Wangsa. Apa kaitannya dengan kawasan saya?” katanya ketika ditemui selepas Program ‘Kasi On’ Bersama Menteri Besar Johor di Semerah, hari ini.

Dalam masa sama, Onn Hafiz turut membangkitkan dakwaan bahawa penduduk Simpang Renggam masih menunggu beberapa janji yang pernah dibuat Maszlee ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Beliau mendakwa antara perkara yang sering dipersoalkan penduduk ialah janji berkaitan tol percuma yang menurutnya sehingga kini masih belum ditunaikan.

“Orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia pernah janji nak bagi tol percuma, tetapi sampai hari ini tidak ditunaikan,” katanya.

Sebelum ini, Maszlee secara terbuka menyatakan kesediaan menyertai dialog bersama Onn Hafiz dan menyifatkan platform itu sebagai ruang untuk mematangkan budaya politik serta memberi peluang kepada rakyat menilai idea dan dasar yang dibawa kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, pasukan Onn Hafiz memaklumkan penyandang DUN Machap itu tidak dapat memenuhi pelawaan tersebut kerana mempunyai komitmen lain yang telah dijadualkan lebih awal.

BBerkaitan

Latest articles