KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai dakwaan syarikat-syarikat yang terlibat dalam Program Jana Wibawa pernah menyalurkan sumbangan politik kepada Bersatu.
Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11 dalam perbicaraan membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau turut menegaskan Muhyiddin tidak pernah memaklumkan sama ada kepada beliau atau Jemaah Menteri bahawa mana-mana syarikat kontraktor akan menyalurkan dana kepada Bersatu atau kepada dirinya.
Menurut Tengku Zafrul, beliau juga tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada 54 syarikat yang disenaraikan dalam satu dokumen berkaitan kes berkenaan.
“Saya mengesahkan tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada 54 syarikat yang disenaraikan. Saya juga tidak mempunyai pengetahuan sama ada syarikat-syarikat itu pernah atau tidak pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di mahkamah.
Dalam keterangannya, beliau turut mengesahkan KCJ Engineering Sdn Bhd merupakan antara 54 kontraktor yang dicadangkan bagi melaksanakan projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan bernilai RM100 juta.
Bagaimanapun, beliau menegaskan syarikat itu tidak pernah mengemukakan permohonan secara terus kepada beliau atau Kementerian Kewangan untuk mendapatkan projek berkenaan.
“Saya juga tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan KCJ Engineering dan tidak pernah menerima apa-apa ganjaran kewangan daripada syarikat itu mahupun syarikat-syarikat lain yang disenaraikan,” katanya.
Menurut beliau, KCJ Engineering hanya disyorkan selepas melepasi penilaian kali kedua oleh Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Jana Wibawa yang bermesyuarat pada 26 Februari 2021.
Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa proses perolehan syarikat tersebut tidak akan bermula sekiranya tiada surat daripada Pejabat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020 yang mencadangkan pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan Program Jana Wibawa, semua syarikat yang dilantik secara rundingan terus adalah syarikat yang dicadangkan oleh Pejabat Perdana Menteri, manakala Kementerian Kewangan hanya bertanggungjawab menjalankan penilaian dan memuktamadkan pelantikan selepas syarikat memenuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.
Katanya lagi, keputusan sama ada sesuatu projek dilaksanakan melalui rundingan terus atau tender pra-kelayakan bukan ditentukan oleh Perdana Menteri, sebaliknya berada di bawah kuasa Menteri Kewangan.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul mengakui tidak mengetahui kaedah yang digunakan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk memilih 54 syarikat terbabit atau bagaimana nama syarikat-syarikat itu dikenal pasti.
Beliau turut menegaskan senarai syarikat tersebut bukan disediakan oleh beliau atau Kementerian Kewangan, sebaliknya datang daripada Pejabat Perdana Menteri.
“Saya juga tidak mengetahui sama ada syarikat-syarikat yang disenaraikan mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dengan Tan Sri Mahiaddin Yassin kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada saya,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin akan bersambung esok.
Muhyiddin, 78, yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan bekas Perdana Menteri, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa memperoleh suapan daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta seorang individu, Datuk Azman Yusoff, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Selain itu, Muhyiddin turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik Bersatu antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan itu dan perbicaraan masih berlangsung.










