PERLING: Kekalahan dalam pilihan raya bukan alasan untuk seseorang pemimpin atau parti politik menghentikan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.
Prinsip tersebut dipegang teguh oleh Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Alan Tee Boon Tsong yang menegaskan, PH dan DAP sentiasa konsisten mengekalkan pusat khidmat komuniti biarpun selepas mengalami kekalahan di sesuatu kawasan.
Mengimbau semula detik bertanding di DUN Yong Peng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, Boon Tsong mengakui keputusan tersebut amat mencabar sehingga membawa kepada kekalahannya di kerusi berkenaan.
”Pimpinan minta saya bertanding di Yong Peng. Berani saya pergi, tapi akhirnya keputusan kurang memuaskan, saya kalah di Yong Peng.
”Pada 12 Mac, saya kalah dalam pilihan raya, tetapi pada 1 April (tahun yang sama), Pusat Khidmat DAP dan Pakatan Harapan terus dibuka di Yong Peng dan konsisten berkhidmat sehinggalah ke hari ini.
”Kita berkhidmat sampai hari ini, tak pernah putus. Tak pernah kata Alan sudah tak ada duit, sudah pokai… kita berhenti setahun dua tahun dulu,” katanya ketika berucap dalam satu Ceramah Harapan di Perling, malam tadi.
Boon Tsong turut membidas dakwaan pihak lawan, khususnya MCA, yang melemparkan tuduhan kononnya beliau melarikan diri selepas tewas dalam cubaan merebut kerusi tradisi tersebut.
Beliau yang kini diberi tanggungjawab menggalas misi PH di DUN Perling mempersoalkan tindakan calon-calon daripada parti komponen lawan yang didakwanya sering kali ‘hilang’ daripada radar kawasan selepas berdepan kekalahan.
”Mereka sindir kata Alan Tee Boon Tsong melarikan diri. Saya nak tanya sikit, calon pihak lawan yang mana satu yang selepas kalah pilihan raya, masih konsisten berkhidmat di kawasan tersebut selama empat tahun berturut-turut? Ada ke? Tak ada.
”Ini bukan sebab peribadi saya hebat sangat, tetapi ini adalah semangat DAP dan semangat Pakatan Harapan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Boon Tsong yang memulakan kerjaya politiknya selepas menerima nasihat daripada pemimpin kanan DAP, Liew Chin Tong pada 2016, turut berkongsi rekod prestasinya ketika diberi mandat sebagai wakil rakyat di DUN Senai sebelum ini.
Jelasnya, tempoh berada dalam blok kerajaan sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk membela nasib golongan marhaen termasuk menstrukturkan semula kebajikan penjaja jalanan.
”Masa menjadi kerajaan, di kawasan pilihan raya, kami telah membantu sekurang-kurangnya 100 orang penjaja kecil.
”Penjaja kecil nak cari makan dekat tepi jalan bukan senang. Mereka takut penguat kuasa, takut keselamatan dan faktor cuaca. Tetapi bila kita jadi kerajaan, saya telah bantu sekurang-kurangnya 100 penjaja. Ini perkara yang boleh kita lakukan apabila menjadi kerajaan,” katanya yang mengharapkan mandat penuh daripada pengundi di Perling dalam pilihan raya kali ini.










