PRN Johor Tiada Kaitan Dengan Najib

BATU PAHAT: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menolak dakwaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan bagi membuka jalan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sambil menyifatkan naratif itu sebagai cubaan menghasut rakyat.

Menurut beliau, tujuan sebenar PRN adalah untuk mengembalikan mandat kepada rakyat Johor bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri, bukannya berkait dengan kepentingan mana-mana individu.

Onn Hafiz berkata, dakwaan yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kemarahan dan kebencian dalam kalangan pengundi, namun yakin rakyat Johor cukup matang untuk menilai keadaan sebenar.

“PRN ini langsung tidak ada kaitan dengan Datuk Seri Najib. Itu hanyalah contoh hasutan untuk membuatkan rakyat marah dan membenci. Tetapi bangsa Johor lebih bijak daripada apa yang mereka sangkakan.

“Sejak dahulu lagi mereka menggunakan pendekatan menghasut serta menabur pelbagai janji. Itulah strategi yang sering digunakan pembangkang dan sebab itu mereka lebih sesuai kekal sebagai pembangkang di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program ‘Kasi On’ Bersama Menteri Besar di Parit Guntong, Semerah, hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Semerah, Mohd Fared Khalid dan calon Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ceramah Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Tangkak, malam tadi mendakwa PRN Johor tidak sepatutnya diadakan ketika ini.

Menurut Anwar, pilihan raya tersebut didakwa tercetus kerana terdapat pihak yang mahu kembali menguasai pemerintahan negara dengan matlamat membebaskan Najib daripada hukuman yang sedang dihadapinya.

Mengulas perkara itu, Onn Hafiz menegaskan dakwaan berkenaan tidak berasas dan meminta rakyat Johor menilai isu PRN berdasarkan kepentingan negeri serta hak rakyat untuk menentukan mandat baharu melalui proses demokrasi.

BBerkaitan

Latest articles