KANGAR: Seorang penceramah motivasi bebas ditahan semula polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung laporan terbaharu yang dibuat seorang remaja perempuan berusia 19 tahun semalam.
Ketua Polis Perlis, Datuk Hamzah Hashim berkata, tangkapan semula itu dilakukan sejurus tempoh reman terdahulu suspek berakhir.
Menurutnya, suspek pada mulanya dibebaskan dengan jaminan polis petang ini selepas selesai menjalani prosedur reman bagi siasatan terdahulu.
Bagaimanapun, Pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kangar segera menahannya semula bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes terbaharu itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Hamzah berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok bagi mendapatkan perintah reman baharu.
Sebelum ini, penceramah berkenaan turut disiasat susulan dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang mangsa bawah umur.










